Thursday 15 March 2018

Terima Kasih Kenangan

Jam di dinding aku kelih. Pukul 2.15 pagi. Aku menarik nafas lembut dan menghembus perlahan-lahan. Cuba menahan ngilu pada perut. Lembut alunan piano sayup-sayup kedengaran. Sengaja aku putarkan. Membiarkan lagu memainkan peranan. Mecari bait-bait yang cuba untuk aku sampaikan. Kepala berdenyut-denyut. Padah tidur tidak menentu. Cermin mata aku betulkan kedudukannya. Sengaja aku lepaskan rambutku yang panjang. Rimas. Aku cuba mencari kata-kata untuk disampaikan. Sungguh aku bukan seorang yang puitis. Mahupun mahir mengarang seumpama hamka. Terima kasih kerana sudi. Sudi memberi sejuta kenangan yang tidak mampu ku sampaikan pada mereka yang cuba memahami. Bahawa indahnya hari-hari yang aku lalui. Indahnya hari-hari bertemu dengan si pemberi semangat. Senyum. Senyuman yang mampu membuat aku tidak lena dibuai mimpi. Ketawa yang memberi sejuta makna. Sinis? Tidak mengapa. Sinis lagi aku yang cuba mentafsir perwatakan manusia. Sinis lagi aku. Kejam lagi aku. Yang hanya mereka yang tahu. Buat pembaca-pembaca sekalian alam. Yang masih setia. Menunggu coretan yang bagiku hanya sebuah coretan biasa. Hanya sekadar luahan seorang insan yang bernama manusia. Aku senyum sendiri. Lama tidak meluah apa yang terbuku di hati. Walau masih berkias. Namun aku cuba sehabis mungkin untuk menyampaikan. Kerana. Bukan aku. Bukan aku jikalau bahasaku tidak berkias. Wahai kamu. Ketahuilah insan ini tidak pandai untuk mencari ayat untuk menggambarkan sesuatu. Dan aku menggunakan kiasan untuk menutupi cela dan aib pada setiap baris ayatku. Bukan hipokrit. Inilah didikan keluargaku agar sentiasa menjaga adab walau mereka, anda, kamu dan dia terkadang biadap. Tidak mengapa wahai kamu. Aku terima seadanya. Jadikan tauladan. Hadam dan simpan. Mungkin lain cara mereka menegur. Kadang kala yang perit itu yang indah. Cuma kita yang merungut tak sudah. Untuk menggambarkan betapa aku berterima kasih. Tidak terungkap hingga habis beribu-ribu buku sekali pun, buat mereka yang mengajar aku untuk terus kuat dan menjadi diri sendiri. Terima Kasih wahai kamu, anda, kalian, mereka dan seangkatan dengannya. Ampun dan maaf dipinta andai seketul manusia ini pernah mengasari. Andai seketul manusia ini dalam pergerakannya menyakitkan hati.


Assalamualaikum

No comments:

Post a Comment